Thursday, 10 May 2012

Pemerhatian persekitaran sekeliling. (dalam perjalanan pulang ke kampung)


Lokasi : Kedai Mamak Bahau Negeri Sembilan
Tarikh : 7/4/2012
Waktu : 9.24am

Situasi 1 : Saat perkara ini dirakamkan oleh kaca mataku ini aku sedang menikmati sarapan pagi ketika perjalanan pulang ke kampung halaman. Setelah semalaman berada di dalam bas, aku keletihan dan kelaparan ketika sampai di Bahau Negeri Sembilan. Ketika berada di kedai mamak tersebut ada sesuatu yang menarik perhatianku di meja hadapan bertentangan dengan meja yang aku duduk. Terdapat dua beranak yang duduk di meja hadapanku iaitu seorang anak lelaki dlm lewat 30-an dan juga bapanya yang dalam lingkungan umur 60-an barangkali, dan apa yang menarik perhatianku bukanlah status mereka sebagai anak-beranak, tetapi adalah pekara yang mereka bicarakan. Niat di hati bukanlah ingin mencuri dengar tetapi sekadar melayan halwa telingaku ini. Dari apa yang aku amati dan dengar, aku mendapati si Bapa yang berusia lewat 60-an itu mempunyai kebolehan untuk melihat,memuja dan mencari barang yang hilang, dan si anak seolah olah megah dengan kebolehan bapanya. Pekara ini dapat aku pastikan apabila terdengar perbualan telefon antara anak dengan mangsa barang hilang tersebut. Apa yang bermain di fikiranku adalah adakah pemujaan itu sah di sisi agama?. Adakah ianya tidak syirik?. Moga-moga ianya tidak seperti yang aku fikirkan. Pekara ini sebenarnya telah di amalkan oleh orang melayu sejak dari zaman dahulu lagi, dan ianya sukar untuk dihakis kerana masih ramai yang mempercayai perkara-perkara sebegini, namun aku juga tidak nafikan bahawa sudah berlakunya penurunan terhadap kepercayaan lama ini dalam zaman yang semakin maju kini. Mungkin niat itu kadang-kadang baik dan mahu membantu orang lain tetapi ianya mestilah tidak bercanggah dengan apa yang di ajar dalam islam kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Dalam setiap perkara yang kita lakukan mestilah berpandukan agama dan meminta pertolongan dari Allah yang telah mencipta kita kerana Dia maha berkuasa dari segala-galanya.

Situasi 2 : Situasi kedua ini juga dirakamkan didalam kedai yang sama setelah anak-beranak di meja hadapanku beredar. Lensa mataku ini mula beralih arah ke arah meja yang berada di tengah dimana terdapat pasangan suami isteri yang mungkin umurnya dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun. Pada mulanya aku melihat semuanya normal dan tiada apa-apa yang menarik. Namun apabila diperhatikan betul-betul aku mendapati si suami atau dengan panggilan yang selesa "pak cik" itu sebenarnya dalam keadaan yang agak menyedihkan. Badan dan lengan penuh dengan luka-luka seperti penyakit kulit tambahan pula dengan hanya berkaki ayam. Bayangkan bagaimana perasaan anda melihat keadaan pak cik itu, yang pastinya ianya telah menyentuh hatiku dan aku hanya mampu berdoa dalam hati kepada allah yang maha berkuasa supaya diringankan beban pak cik itu. Setelah pasangan itu selesai makan, mereka pn mula ingin beredar dan keadaaan pakcik tersebut sekali lagi menyentuh perasaanku, allahhuakbar... betapa sedihnya aku melihat pak cik tersebut berjalan ibarat menahan seksa apabila terpaksa memegang dinding kedai untuk berjalan ke luar, langkah demi langkah dia berjalan dan akhirnya dipimpin oleh isterinya yang tercinta. Kesabaran si isteri harus dipuji kerana mampu bersabar dengan karenah dan keadaan suami yang sedemikian rupa, dia mampu bersabar dan menjaga suaminya hingga usianya sama-sama semakin senja, dan itulah sebenarnya cinta sejati dan hakiki dan layak untuk kita contohi. 

Akhir kata : Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah kepada si anak dan si bapa sebelum di panggil menghadap Illahi dan semoga Allah meringankan segala beban serta derita yang ditanggung oleh si suami dan si isteri, ianya peringatan terhadap diriku sendiri yang juga seorang hamba yang sering berdosa dan hina dihadapan-Nya. Sekian wassalam.